fungsi aktiviti koperasi

 

FUNGSI KEWANGAN & PERBANKAN

Koperasi dengan fungsi kewangan dan perbankan telah mempelopori perkembangan gerakan koperasi sejak tahun 1920an. Koperasi fungsi ini menjalankan aktiviti kewangan iaitu menyediakan pinjaman kepada anggota pada kadar faedah yang berpatutan. Aktiviti lain di bawah fungsi ini ialah pajak gadai secara islam (Ar-Rahnu), pelaburan dan perkhidmatan insuran. Anggota-anggotanya adalah terdiri daripada mereka yang bergaji tetap terutamanya di sektor awam, badan berkanun dan swasta. Pada masa ini 2 buah koperasi yang khusus menjalankan fungsi perbankan iaitu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Co-opbank Persatuan Malaysia Berhad.

FUNGSI PERUMAHAN

Tumpuan koperasi jenis ini ialah menjalankan projek-projek perumahan untuk anggota-anggotanya. Kebanyakan projek bertumpu kepada rumah berkos rendah dan sederhana. Harga jualan rumah-rumah ini adalah di dalam lingkungan keupayaan anggota dan pada umumnya sekitar 20% hingga 30% lebih rendah daripada harga yang lazimnya ditawarkan di pasaran.

FUNGSI PENGGUNA

Tujuan utama koperasi fungsi pengguna adalah untuk membantu anggota-anggotanya mendapatkan barangan yang berkualiti pada harga yang berpatutan. Di antara aktiviti yang dijalankan oleh koperasi ini adalah seperti pasar mini, pasaraya, kedai runcit, stesen minyak, kedai alatan rumah dan lain-lain.

Koperasi fungsi pengguna di peringkat sekolah pula diperkenalkan dengan tujuan untuk menanam sifat berjimat-cermat dan memupuk asas keusahawanan di kalangan pelajar. Di antara aktiviti utama yang dijalankan ialah mengusahakan kantin sekolah, kedai buku, kedai dobi dan kelas komputer.

FUNGSI PENGANGKUTAN

Sebahagian besar koperasi fungsi pengangkutan adalah terdiri daripada koperasi di rancangan pembangunan tanah seperti FELDA, RISDA dan FELCRA yang menjalankan aktiviti mengangkut hasil pertanian ke kilang pemprosesan. Selain daripada koperasi peserta rancangan, koperasi lain yang menjalankan fungsi pengangkutan adalah seperti koperasi pengusaha teksi, pengusaha bas dan lori.

FUNGSI PELADANGAN

Koperasi yang didaftarkan di bawah fungsi peladangan menjalankan aktiviti pembangunan dan pengurusan tanah pertanian. Di antara tanaman utama yang diusahakan oleh koperasi-koperasi ini ialah getah, kelapa sawit, nanas, koko dan sayur-sayuran.

FUNGSI PERINDUSTRIAN

Sebahagian besar koperasi fungsi perindustrian adalah terdiri daripada koperasi-koperasi yang menjalankan kegiatan industri kecil yang lebih dikenali sebagai Koperasi Industri Kampung (KIK). KIK ditubuhkan bertujuan mengumpulkan sumber-sumber untuk mengeluar, memasar dan menghasilkan barangan daripada hasil anyaman, barangan hiasan tembikar dan perak dan barangan perabot.

FUNGSI PEMBINAAN

Koperasi fungsi pembinaan menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan kerja pembinaan infrastruktur seperti pembinaan jambatan kecil, jalan-jalan dan kerja penyelenggaraan umum. Di antara koperasi-koperasi yang terlibat dengan kegiatan pembinaan ialah Koperasi Pembangunan Daerah (KPD), koperasi di rancangan FELDA, FELCRA dan RISDA.

FUNGSI PERKHIDMATAN

Koperasi fungsi perkhidmatan merupakan koperasi-koperasi yang di dalam aktiviti dan kegiatan selain daripada yang berkaitan dengan fungsi kewangan, pengguna, perladangan, pengangkutan, perindustrian, pembinaan dan perumahan. Di antara perkhidmatan yang dijalankan oleh koperasi-koperasi ini ialah pengurusan dana, penyelenggaraan bangunan dan kawasan perumahan, sewaan bangunan/ lot-lot gerai, pusat asuhan kanak-kanak, kelas komputer, pusat pembayaran bil dan seumpamanya.