Pengenalan

Dasar Koperasi Negara telah lancarkan oleh YAB Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Hj. Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 16 Julai 2012 mengandungi 3 KRA atau Key result Area iaitu meliputi :

  •   Pembangunan aktiviti ekonomi koperasi;
  •   Keyakinan masyarakat;
  •   Kawalselia dan tadbir urus yang baik

Dasar Koperasi Negara II (DKN2),  telah dirangka bertujuan untuk dijadikan sebagai rujukan dan panduan bagi memeta tindakan dan arah tuju koperasi ke arah pencapaian Wawasan 2020. DKN2 bagi tempoh 2011 hingga 2020 adalah kesinambungan kepada DKN1 yang berakhir pada 2010.

Landskap Dasar Koperasi Negara telah menggariskan 5 Teras Strategik untuk dicapai iaitu:

  •   TS1: Merangsang penglibatan koperasi dalam sektor ekonomi bernilai tinggi
  •   TS2: Memantapkan keupayaan dan kebolehan koperasi
  •   TS3: Mewujud dan meningkatkan keupayaan modal insan koperasi
  •   TS4: Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap gerakan koperasi
  •   TS5: Memperkukuhkan koperasi melalui seliaan dan penguatkuasaan berkesan

Untuk mencapai dasar yang dirangka, Suruhanjaya Koperasi Malaysia telah mengenal pasti 5 bidang ekonomi bernilai tinggi sebagai EPP untuk diberi penumpuan iaitu:

  •   Perkhidmatan Kewangan;
  •   Pemborongan dan Peruncitan;
  •   Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan;
  •   Pertanian dan Industri Asas Tani;
  •   Perladangan

EPP 01 : Perkhidmatan Kewangan
Mengenai Projek EPP

Sektor kewangan adalah penyumbang terbesar dan menjadi tulang belakang kepada gerakan koperasi negara. Sehingga Disember 2011, sebanyak 80% daripada sumbangan koperasi adalah datangnya daripada sektor kewangan. Pengukuhan koperasi dalam perkhidmatan Kewangan membolehkan perolehan ditingkatkan daripada 64% kepada 70% menjelang 2020.

Bagi tujuan meningkatkan lagi aktiviti dalam sektor ini, koperasi-koperasi digalakkan untuk menawarkan produk kewangan baru seperti Ar-Rahnu, pembiayaan mikro kredit, gabungan koperasi-koperasi Kredit, Kad Coop, serta wakil Khidmat Bank Rakyat serta lain-lain aktiviti pembiayaan yang boleh menyokong pembangunan perniagaan dan perusahaan selain menghadkan kepada pembiayaan peribadi sahaja.

EPP 02 : Pemborongan dan Peruncitan
Mengenai Projek EPP

Sektor pemborongan dan peruncitan telah mula aktif dalam gerakan koperasi sejak tahun 1949 dan dijangka akan terus memberi sumbangan yang signifikan kepada peningkatan output koperasi.

Perangkaan semasa menunjukkan 50% koperasi terlibat dalam sektor pengedaran, dengan koperasi dewasa memainkan peranan penting bagi memastikan pengedaran barangan keperluan harian terutamanya barang kawalan sampai kepada rakyat terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar.

Gabungan dan kerjasama strategik antara koperasi pemborongan dan peruncitan di seluruh negara dijangka dapat melipat gandakan penglibatan serta mengukuhkan koperasi dalam sektor ini.

Pengukuhan koperasi penting bagi memastikan koperasi dapat memainkan peranannya dengan efisien dalam membantu kerajaan menstabilkan harga barangan dipasaran.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia sedang melaksanakan beberapa program bagi menggalakkan pembabitan koperasi dalam bidang ini seperti:

  •   Mewujudkan produk-produk jenama "COOP 1Malaysia" untuk dijual di premis-premis milik koperasi,
  •   Mewujudkan Pusat Pengedaran (Distribution Centre) mengikut negeri dan daerah;
  •   Permodenan kedai runcit di bawah program TUKAR;
  •   Menggalakkan koperasi mendapatkan Lesen Borong Barang Kawalan;
  •   Menggalakkan koperasi menyertai perniagaan stesen minyak Peruncitan SMART STREAM, di samping;
  •   Menggalakkan pembukaan pasaraya yang diusahakan oleh koperasi.
 

Blueprint Sektor Pemborongan & Peruncitan Koperasi 2016-2020

EPP 03 : Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan
Mengenai Projek EPP

Industri pelancongan dan aktiviti perkhidmatan berkaitan seperti penjagaan diri dan kesihatan merupakan sektor ekonomi yang boleh diceburi oleh koperasi. Ianya membuka peluang perniagaan terutamanya kepada koperasi bersaiz kecil dan mikro yang sebahagian besarnya wujud di luar bandar.

Kawasan luar bandar kaya dengan sumber semulajadi sebagai aset yang boleh menjana aktiviti ekonomi kepada koperasi setempat. Usaha akan ditingkatkan untuk menggalakkan koperasi di luar bandar terlibat secara langsung dalam industri pelancongan khususnya yang menawarkan produk eko-pelancongan. Aktiviti lasak seperti mendaki gunung, menyusuri sungai dan merentasi hutan merupakan produk eko-pelancongan yang boleh diterokai oleh koperasi. Koperasi juga digalakkan untuk terlibat dalam aktiviti pengurusan inap desa (homestay) yang telah mendapat sambutan hangat daripada pelancong terutamanya dari luar negara.

Kerjasama antara koperasi yang menyediakan produk pelancongan ini dengan koperasi yang terlibat dengan aktiviti hiliran dan huluan, pengurusan pelancongan'travel and tours' membolehkan penyediaan perkhidmatan pelancongan secara komprehensif. Aktiviti sokongan yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan diperkembangkan. Peluang terbuka kepada koperasi dan anggota-anggota menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan seperti pemandu pelancong, pertunjukan kebudayaan, penyediaan makanan dan minuman, pengangkutan dan cenderamata.

Dalam bidang kesihatan pula, koperasi boleh mengadakan perkhidmatan kesihatan melalui 'community-based health service' kepada masyarakat setempat. Antara aktiviti dalam perkhidmatan kesihatan ini adalah mengadakan perkhidmatan jagaan warga emas dan orang kurang upaya, perkhidmatan rawatan dan promosi serta pendidikan kesihatan.

EPP 04 : Pertanian dan Industri Asas Tani
Mengenai Projek EPP

Walaupun sektor perkhidmatan dijangka menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi, namun aktiviti pertanian dan industri asas tani masih penting bagi mempastikan penggunaan sumber sedia ada secara cekap dan optimal serta menjamin kecukupan dan kestabilan bekalan makanan negara.

Koperasi yang mempunyai tanah di luar bandar digerakkan untuk melibatkan diri dalam bidang ini. Selain daripada aktiviti pertanian konvensional seperti tanaman dan ternakan bagi memastikan bekalan makanan asasi sentiasa ada, mudah diakses dan harga berpatutan, aktiviti pertanian seperti penternakan burung walit, akuakultur, cendawan dan sayuran organik merupakan aktiviti pertanian bernilai tinggi yang boleh diceburi oleh koperasi.

Bagi meningkatkan keberhasilannya, koperasi digalakkan untuk beroperasi secara berskala besar dengan mengaplikasikan penggunakan teknologi moden.

EPP 05 : Perladangan
Mengenai Projek EPP

Dalam sektor perladangan negara, dianggarkan 100,000 hektar ladang kelapa sawit akan ditanam semula. Sebanyak 1,362 (19%) koperasi yang terlibat dengan aktiviti perladangan boleh memanfaatkan peluang ini. Dengan kekuatan modal yang ada, koperasi perladangan dan koperasi yang mempunyai tanah digalakkan untuk membangunkan sektor perladangan melalui gabungan atau kerjasama strategik. Secara bergabung, koperasi boleh melibatkan diri dalam operasi pengurusan ladang dan koperasi perladangan yang kecil digalak menjalankan operasi tapak semaian dan membekal benih sawit kepada ladang tempatan.

Koperasi perladangan yang berjaya bertindak sebagai mentor untuk membantu koperasi lain membangunkan ladang mereka secara berkelompok. Koperasi juga perlu bekerjasama dengan agensi teknikal kerajaan seperti Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) dan agensi teknikal lain bagi membolehkan koperasi perladangan menceburi bidang baru seperti bioteknologi dan perusahaan berasaskan herba.