Latar Belakang

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) adalah satu entiti yang telah diperbadankan pada 1 Januari 2008. SKM sebelumnya dikenali sebagai Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia (JPK).

Di awal penubuhannya pada bulan Julai 1922, jabatan yang dikenali sebagai The Office of The Director of Co-operation ini berfungsi untuk menubuh, mendaftar dan membangunkan Syarikat Bekerjasama-sama di bawah Enakmen Syarikat Bekerjasama-sama ( The Co-operative Societies Enactment 1922 [FMS Cap. 97 of 1935]) dan ditugaskan untuk memandu dan memajukan pergerakan koperasi.

Pejabat Pesuruhjaya Kemajuan Syarikat Bekerjasama-sama, Ibu Pejabat Jabatan Pembangunan Koperasi ketika itu bertempat di Taiping, Perak Darul Ridzuan. Ianya kemudian dipindahkan ke Kuala Lumpur dalam tahun 1924.

Nama Jabatan Kemajuan Kerjasama telah diubah kepada Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) dalam akhir tahun tujuh puluhan. Enakmen Tahun 1922 itu telah dimansuh dan digantikan dengan Akta Koperasi 1948 (Disemak 1983).

Akta Koperasi 1993 (Act 502) kemudiannya telah digubal bagi menyatukan undang-undang koperasi di seluruh Malaysia dan mula berkuatkuasa pada 22 Januari 1994.

Objektif Kami
  •  Merangsang pembangunan koperasi dan sektor koperasi yang kukuh dan teratur menurut nilai-nilai serta prinsip-prinsip koperasi bagi menyumbang ke arah     pencapaian objektif sosio-ekonomi negara;
  •  Mengalakkan sektor koperasi yang kukuh kewangannya, progresif dan mampan; dan;
  •  Mengekalkan keyakinan dalam gerakan koperasi.
Fungsi Kami
  •  Mengalakkan serta mengekalkan kestabilan sektor koperasi;
  •  Mengalakkan dan mempromosikan pembangunan koperasi dan sektor koperasi yang kukuh dan teratur;
  •  Bertindak sebagai pemegang amanah dan untuk menguruskan apa-apa skim pembiayaan Islam atau kemudahan kredit yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia untuk koperasi;
  •  Menasihati Menteri mengenai semua perkara yang berhubungan dengan koperasi dan sektor koperasi;
  •   Menjalankan apa-apa fungsi di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain seperti yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan yang disiarkan dalam   Warta;
  •  Bertanggungjawab dalam memantau, menyelia dan mengawal selia koperasi dan sektor koperasi;
  •  Memelihara nilai dan prinsip koperasi;
  •  Mendaftar dan membatalkan pendaftaran koperasi;
  •  Mengadakan persekitaran yang sesuai bagi koperasi menjalankan aktivitinya.