DNZ Ppic

Assalamualaikum, Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia dan Salam 1Koperasi,

2016 telah meninggalkan kita semua dengan pelbagai peristiwa. Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai Peneraju Kecemerlangan Koperasi sentiasa memastikan gerakan koperasi di Malaysia menjadi satu entiti ekonomi yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan akhirnya merealisasikan hasrat Kerajaan supaya koperasi berperanan membawa kepada kesejahteraan rakyat.

Program yang memberikan impak besar pada 2016 adalah anjuran Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri yang julung kali diadakan kerana sebelum ini hanya diadakan di Peringkat Nasional. Impak yang amat positif sambutan HKN Peringkat Negeri 2016 adalah apabila lebih banyak koperasi boleh mengambil bahagian dan seterusnya dapat mempromosikan perkhidmatan serta produk koperasi serta mewujudkan jalinan perniagaan dengan koperasi-koperasi lain atau pihak swasta. Bilangan pengunjung yang dianggarkan melebihi 100 ribu menepati sasaran serta objektif HKN diadakan demi membantu koperasi mempromosikan produk mereka kepada orang ramai serta semakin banyak pihak mengiktiraf koperasi sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi Negara.

Tahun 2016 suasana sangat mencabar bagi meneruskan kecemerlangan gerakan koperasi di Malaysia. Pelbagai saranan telah di buat oleh YB Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam memastikan koperasi adalah berkualiti dan vibrant.

Antara saranan yang perlu dilaksanakan pada 2017 adalah SKM perlu membawa Rang Undang-Undang Akta Koperasi 1993 (Akta 502) ke Parlimen yang bersidang pada bulan Julai. Ini bersesuaian dengan halatuju gerakan koperasi ke arah pematuhan perundangan kendiri dengan mewujudkan tier tertentu supaya gerakan koperasi masih relevan menjelang Malaysia mencapai status negara maju pada tahun 2020.

Peranan koperasi juga akan menjadi sangat penting apabila terlibat dengan pengurusan dan aktiviti KRIM dan kedai harga patut. SKM berharap rancangan dapat dilaksanakan dengan baik dan akhirnya memberikan impak dalam menangani isu kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat. Inilah sebenarnya prinsip dan peranan koperasi sebagai satu entiti sosio-ekonomi yang menyumbang kepada pembangunan Negara dan membantu Kerajaan atas kesejahteraan rakyat dan anggota koperasi khasnya.

Portal SKM telah membuat paparan baru dan isi kandungan yang lebih berinformasi dan mesra pengguna yang berfungsi sebagai platform pusat untuk capaian maklumat dan pintu gerbang kepada sistem atas talian yang disediakan oleh pihak SKM kepada pelanggan.  Ini adalah selaras dengan kehendak pihak Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning Unit (MAMPU) supaya setiap agensi Kerajaan meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan dalam talian dan memenuhi kehendak 47 kriteria Provider-Based Evaluation (ProBE) yang ditetapkan selaras dengan hasrat SKM untuk mendapatkan  penarafan portal  yang terbaik daripada pihak MAMPU.

SKM sentiasa berusaha meningkatkan keberkesanan portal untuk penyebaran dan perkongsian maklumat berkenaan gerakan koperasi. Dengan itu, SKM mengalu-alukan anda melayari laman web ini dan mengemukakan sumbangan idea, pandangan dan maklumbalas bagi memantapkan lagi kandungan laman web ini untuk manfaat semua pihak.

Akhir kata, saya akan menjalankan tanggungjawab sepertimana amanah yang diberikan kepada saya dan mengharapkan semoga gerakan koperasi terus cemerlang.

Sekian, terima kasih.

YBhg. Dato' Dr. Noor Zari bin Hamat
Pengerusi Eksekutif
Suruhanjaya Koperasi Malaysia