Pengenalan
Tabung Pinjaman Suntikan Modal Koperasi (TPSMK-SUNTIK) diwujudkan hasil daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (JPKSKM) pada 15 Februari 2016. Mesyuarat bersetuju membentuk satu tabung dengan peruntukan sejumlah RM10 juta sebagai modal permulaan TPSMK-SUNTIK untuk membantu koperasi  menjalankan aktiviti perniagaan.
Objektif
Objektif TPSMK-SUNTIK adalah untuk memberi kemudahan pinjaman kewangan tanpa dikenakan sebarang faedah dan cagaran kepada koperasi-koperasi berdaftar di bawah Akta Koperasi 1993. Ia bertujuan untuk melaksana dan memantapkan perniagaan atau perusahaan yang diceburi oleh koperasi sebagai usaha Suruhanjaya untuk membantu koperasi mencipta kekayaan yang lebih besar dan mampan. Ini adalah selaras dengan usaha Kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat ke arah mencapai pembangunan inklusif dan seterusnya membantu koperasi untuk sama-sama terlibat dalam usaha kerajaan untuk memastikan capital ekonomi negara terus berkembang.
Bidang Keberhasilan Ekonomi Utama

Aktiviti perniagaan bidang keberhasilan ekonomi utama koperasi yang boleh di pertimbangkan untuk mendapat pinjaman daripada TPSMK-SUNTIK adalah seperti berikut:

  1. Sektor Pemborongan dan Peruncitan
    (termasuk DC, Sub-DC, Pasaraya, Kedai COOP 1M, Produk COOP 1M, Produk COOP, Stesen Minyak dan Pusat Pengumpulan);

  2. Sektor Pertanian dan Industri Asas Tani
    (termasuk ternakan unggas, ternakan ruminan, aqua kultur, hidroponik, makanan ternakan, tanaman kontan, tanaman buah-buahan dan produk hiliran, bilik sejuk beku);

  3. Sektor Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan 
    (termasuk Homestay, Hotel Bajet, SPA, Agen Pelancongan, Kraftangan);

  4. Sektor Perladangan
    (termasuk bekalan input pertanian dan nurseri); dan

  5. Sektor Pembangunan Hartanah dan Industri Pembinaan
    (termasuk pembangunan hartanah, perumahan, dan bangunan hotel).
Permohonan Pinjaman TPSMK-SUNTIK

i. Permohonan hendaklah dikemukakan oleh koperasi melalui Borang Permohonan TPSMK-SUNTIK seperti di Lampiran A melalui SKM Negeri untuk mendapat perakuan/ulasan.

ii.Permohonan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa TPSMK-SUNTIK untuk mendapat kelulusan.

iii. Permohonan pinjaman ini boleh dikemukakan bermula dari 1 Mei 2016.

iv. Bagi melancarkan proses, koperasi hendaklah menyediakan perkaraperkara seperti berikut:

  1. Penyata kewangan teraudit 2 tahun terakhir.
  2. Koperasi perlu mengemaskini tarikh Mesyuarat Agung dan nama Anggota Lembaga Koperasi serta Juruaudit Dalam yang terkini merujuk kepada tahun permohonan di Sistem DKOOP di http://dkoop.skm.gov.my.
Syarat Pinjaman
  1. Jumlah maksimum pembiayaan bagi satu koperasi pada satu-satu masa ialah RM100,000.00 (Ringgit Malaysia: Satu Ratus Ribu Sahaja).
  2. Bayaran proses TPSMK-SUNTIK adalah pada kadar satu peratus (1%) bagi pembiayaan yang diluluskan atau minima RM500.00.
  3. Koperasi tidak dibenarkan menangguh pembayaran balik pembiayaan. Caj ta’widh sebanyak 1 % per tahun akan dikenakan jika koperasi menangguhkan pembayaran lebih dari 6 (enam) bulan.
Syarat-Syarat Kelayakan Permohonan Pinjaman
  1. Koperasi telah didaftarkan tidak kurang daripada 18 bulan;

  2. Projek yang dilaksanakan adalah berdaya maju (Viable);

  3. Permohonan koperasi mendapat perakuan/ulasan SKM Negeri;

  4. Pentadbiran dan pengurusan koperasi adalah mematuhi Akta Koperasi 1993, Peraturan-peraturan Koperasi 2010 dan Undang-Undang Kecil Koperasi;

  5. Pengurusan perakaunan koperasi adalah teratur, kemaskini dan penyata kewangan terkini telah diaudit;

  6. Projek yang akan dibiayai memberi manfaat kepada anggota-anggota dan koperasi;

  7. Koperasi telah mengemaskini data maklumat terkini koperasi dalam sistem termasuk D-Koop dan INFOKOP SKM;

  8. Koperasi mempunyai keupayaan kewangan untuk membayar balik pinjaman;

  9. Projek hendaklah dilaksanakan oleh koperasi dan tidak melalui pihak ketiga;

  10. Pinjaman hendaklah digunakan bagi tujuan seperti mana yang diluluskan; dan

  11. Sebarang perubahan tujuan penggunaan perlu mendapat kelulusan Suruhanjaya terlebih dahulu.
Bayaran Balik Pinjaman TPSMK-SUNTIK
  1. Peminjam/penerima pinjaman hendaklah membayar ansuran pinjaman mengikut jadual yang telah ditetapkan dalam perjanjian seperti di Lampiran B.

  2. Bayaran balik secara ansuran boleh bermula selepas tiga (3) bulan pinjaman diterima oleh koperasi.

  3. Bayaran balik pinjaman dengan secara ansuran bulanan dalam tempoh maksimum enam puluh (60) bulan atau lima (5) tahun.

  4. Bayaran ansuran hendaklah dibayar dengan cek atau kiriman wang yang berpalang atas nama "Kumpulan Wang Amanah Pendidikan".
  5. Tiap-tiap bayaran ansuran hendaklah dikutip dan diberi resit rasmi oleh Bahagian Pembiayaan Kredit.

Dokumen Permohonan Pinjaman TPSMK-SUNTIK
  1. Semua permohonan TPSMK-SUNTIK hendaklah disertakan dengan dokumen-dokumen sokongan berkaitan seperti berikut:


    1. Borang Permohonan/Kertas Kerja Pembiayaan;
    2. Cabutan minit Mesyuarat Agung Tahunan;
    3. Cabutan minit Mesyuarat Anggota Lembaga;
    4. Cabutan Undang-Undang Kecil;
    5. Senarai Anggota Lembaga Koperasi;
    6. Senarai Pekerja;
    7. Penyata Kewangan teraudit – 2 tahun terakhir
    8. Penyata Terimaan dan Bayaran bagi 3 bulan terakhir;
    9. Penyata Bank Terkini; 
    10. Aliran Tunai Projek;
    11. Butiran Kos Pinjaman;
    12. Gambar-gambar sokongan bagi projek yang dipohon;
    13. Koperasi telah mengemaskini data maklumat terkini koperasi dalam sistem termasuk

      - Sistem D-Koop dan INFOKOP SKM
      - Sistem Kewangan (SPMKK)
Pengesahan Dokumen
Semua dokumen sokongan yang dikembarkan hendaklah disahkan benar oleh pegawai penyelia koperasi di peringkat SKM Negeri/Wilayah berkaitan.
Dokumen Lampiran
Penutup
Semua permohonan Pinjaman Tabung Suntikan Modal Koperasi (TPSMK-SUNTIK) adalah tertakluk kepada peruntukan bajet yang ada di Suruhanjaya Koperasi Malaysia.