PERUTUSAN PENGERUSI EKSEKUTIF
SURUHANJAYA KOPERASI MALAYSIA (SKM)
SEMPENA TAHUN BARU 2010

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya kita telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran di sepanjang tahun 2009 dalam membangunkan sektor koperasi. Harapan yang tinggi telah diletakkan kepada SKM bagi merealisasikan kecemerlangan gerakan koperasi Negara. Selamat menyambut tahun 2010 saya ucapkan kepada semua masyarakat khususnya koperator. Harapan saya, tahun 2010 ini ditempuh dengan azam dan semangat baru dan akan menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya.
Tahun 2009 merupakan tahun yang mencabar untuk SKM. Kelembapan ekonomi Negara, perubahan pucuk pimpinan Negara dan SKM di bawah Kementerian baru sedikit sebanyak memberi kesan kepada hala tuju gerakan koperasi yang perlu dikaji semula dengan mengambil pendekatan baru ke arah pembangunan gerakan koperasi. Ini adalah bertepatan dengan sasaran Pelan Pembangunan Strategik Koperasi 2008-2013 yang jelas menunjukkan hala tuju gerakan koperasi bagi jangka masa panjang.
Selain itu, di antara cabaran utama yang dihadapi oleh gerakan koperasi bagi tahun 2009 adalah berhubung isu wujudnya individu dan kumpulan yang mempergunakan koperasi untuk menipu orang ramai dan bagi kepentingan diri sendiri. Pelbagai skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan ditawarkan. Ramai yang tertipu. Ada juga kumpulan yang mengambil kesempatan dengan menjalankan aktiviti ala skim cepat kaya dan koperasi kredit ala ‘Ah-Long’. Namun demikian, masalah ini telah dapat ditangani oleh SKM melalui tindakan tegas tanpa kompromi. Di samping itu program pembangunan, pemantapan dan program pembangunan modal insan juga digerakkan.
Di sepanjang tahun 2009, SKM telah memberi fokus kepada aktiviti yang membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada koperasi berkonsepkan membantu diri sendiri (self help) bagi meningkatkan taraf hidup mereka. Di antaranya menggalakkan koperasi terlibat dalam bidang pemborongan dan peruncitan, pemantapan perkhidmatan koperasi kredit tulen dan menggalakkan koperasi besar membantu koperasi kecil melalui program mentor-mentee. Di samping itu, SKM telah mempermudahkan proses penubuhan koperasi dan menggalakkan penubuhan koperasi baru seperti koperasi kejiranan, koperasi qariah masjid, koperasi rumah pangsa dan sebagainya. Hasilnya, purata setiap bulan 100 buah koperasi didaftarkan dalam tahun 2009. Ini suatu pencapaian yang membanggakan berbanding dengan sasaran 800 buah koperasi disepanjang RMKe-9.
Untuk pemantapan koperasi sedia ada, SKM telah melaksanakan aktiviti pemantauan khas, melalui Pemeriksaan Audit Wajar (DDE) ke atas koperasi bermasalah, koperasi besar dan koperasi berisiko tinggi. Hasilnya SKM telah dapat mengesan awal dan mengambil tindakan ke atas koperasi bermasalah, antaranya dengan penggantungan Anggota Lembaga Koperasi (ALK), peletakan koperasi di bawah pentadbir, pembatalan koperasi dan mendakwa mereka di mahkamah.
SKM juga tidak lupa mengadakan program ke arah pembentukan modal insan yang cemerlang. Ini kerana SKM percaya modal insan yang cemerlang adalah merupakan aset yang begitu bermakna kepada koperasi. SKM, MKM dan ANGKASA telah berganding bahu memperbanyakkan kursus-kursus bagi memberi pendedahan dan mengasah kemahiran koperator di negara ini. SKM telah memperuntukkan RM25 juta (dana dari gerakan koperasi) bagi membiayai program ini. Bagi mempertingkatkan lagi professionalisme pengurusan koperasi, skim pinjaman/biasiswa kepada anak-anak anggota koperasi yang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Pengurusan Perniagaan berteraskan koperasi telah diwujudkan.
Saya mengharapkan tahun baru 2010 bakal memberikan kejayaan yang lebih besar kepada gerakan koperasi. Berdasarkan kepada Pelan Pembangunan Strategik SKM 2008-2013, SKM mensasarkan peningkatan bilangan koperasi berdaftar kepada 10,000 buah menjelang tahun 2013 dan gerakan koperasi meningkatkan sumbangannya kepada KDNK kepada empat (4) peratus. SKM akan mengembeling segala daya usaha untuk mencapai sasaran strategik ini, sesuai dengan visi SKM untuk “Meneraju Kecemerlangan Koperasi Bagi Menjadikannya Penyumbang Berkesan Kepada Pembangunan Negara”.
Sejajar dengan cita-cita dan sasaran tersebut, pelbagai aktiviti telah dirancang di sepanjang tahun 2010. Di antaranya adalah untuk memperkasakan rakyat melalui program “Satu Komuniti Satu Koperasi (1K1K)” membantu rakyat meningkatkan taraf hidup mereka melalui konsep bantu diri sendiri dengan melibatkan diri di dalam aktiviti ekonomi dan sosial pada semua peringkat, tidak kira bangsa, agama, bandar/luar bandar, wilayah dan negeri. Penubuhan koperasi di kalangan golongan muda juga adalah digalakkan bagi menerapkan nilai-nilai dan budaya kerja bersama-sama di kalangan anggota koperasi. Selain itu, amalan tadbir urus baik perlu dipraktikkan oleh koperasi dari perspektif pentadbiran, pengurusan kewangan, perundangan dan sebagainya. Ini sejajar dengan penetapan Bidang Keberhasilan Utama (KRA) Kementerian iaitu meningkatkan sumbangan sektor koperasi kepada pembangunan sosio-ekonomi rakyat.
Bagi menyokong pencapaian visi dan matlamat yang ditetapkan, SKM akan terus mempertingkatkan sistem penyampaiannya melalui penggunaan sistem berkomputer dan mempertingkatkan laman web SKM sebagai perantara untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh SKM. Sambutan yang menggalakkan terhadap perkhidmatan melalui laman web dapat dilihat dengan purata 1000 hit sehari sejak ianya dilancarkan dalam tahun 2009. SKM juga sedang membuat kajian semula Dasar Koperasi Negara dengan tujuan untuk memperkukuhkannya lagi. Dasar Koperasi Negara Ke-2 dijangkakan dapat dilancarkan dalam tahun 2010. Ini penting kerana banyak perubahan telah berlaku sejak tahun 2004. Penekanan kepada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Indikator Pencapaian Utama (KPI) bagi pelaksanaan program-program di bawah RMKe-10 memerlukan perubahan secara menyeluruh melalui cara kita bekerja dan penggunaan sumber yang ada bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Ianya melibatkan keseluruhan program pembangunan perniagaan, pengembangan dan pembudayaan, pembangunan infrastruktur asas dan pembangunan pengurusan teknologi maklumat.
Akhir kata, semoga segala pengalaman yang telah kita raih sebelum ini dijadikan sebagai panduan dan kayu ukur untuk kita lebih maju pada masa akan datang. Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua koperasi, koperator dan anggota kerja SKM, MKM dan ANGKASA. Semoga niat murni kita untuk memperkasakan koperasi direstui Illahi dan mencapai kejayaan.