Sehingga akhir Disember 2005 sebanyak 4,771 koperasi telah didaftarkan dengan jumlah anggota 5.69 juta orang, saham dan yuran berjumlah RM6.849 bilion dan jumlah aset bernilai RM34.868 bilion. Di antara tahun 2001 dan 2005, JPK dan Kementerian telah mencatatkan jumlah pinjaman kepada koperasi berjumlah RM24 bilion bagi 2.96 juta anggota koperasi. Selaras dengan perkembangan pesat ini kabinet telah meluluskan penubuhan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada 2 Mac 2005 bagi menggantikan tugas Jabatan Pembangunan Koperasi yang telah berjasa sejak 1975. Rang Undang-Undang SKM telah mendapat kelulusan Parlimen pada 25 April 2005. Tujuan utama SKM adalah untuk mengawalselia sektor koperasi yang berkembang dan memastikan ia berupaya membangun dengan berkesan dan sistematik. Ini akan membolehkan potensi sektor koperasi dimanfaatkan sepenuhnya dalam menyumbang kepada penjanaan aktiviti ekonomi dan kestabilan sosioekonomi negara. Ke arah ini Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) yang mengawal selia koperasi dinaik taraf sebagai sebuah sebuah suruhanjaya (SKM), sebuah badan berkanun dengan Akta Tubuhnya sendiri (Akta 665). Matlamat asas SKM adalah untuk mengukuhkan sektor koperasi bagi membolehkannya memberi sumbangan yang besar kepada pertumbuhan ekonomi negara terutama memberi bantuan kewangan kepada peniaga kecil dan pemilik perniagaan koperasi. SKM bertanggungjawab memastikan aspek kewangan dan operasi koperasi dalam keadaan sistematik dan stabil. Bantuan kewangan dapat disalurkan melalui dua tabung yang diwujudkan iaitu Akaun Deposit Koperasi (CDA) dan Kumpulan Wang Kecairan Koperasi (CLF). CDA memerlukan koperasi menyimpan lebihan wang ke dalam CDA tidak dalam akaun lain. CLF pula adalah dana yang terkumpul melalui peratus yang ditetapkan dan perlu dideposit oleh koperasi. Koperasi yang terdesak memerlukan bantuan kewangan boleh memohon pinjaman dari tabung ini. Melalui SKM kerajaan telah mengenal pasti beberapa masalah dalam sektor koperasi yang merupakan penghalang perkembangannya akan dapat memberikan bantuan penyelesaian. Antara masalah tersebut adalah pengurusan yang kurang berkesan, pecah amanah, salahguna dana dan pelbagai skandal lain. Ini mungkin disebabkan sesetengah anggota lembaga koperasi tidak memahami sepenuhnya prinsip-prinsip koperasi di samping tiada amalan demokrasi dalam pengurusan hal ehwal koperasi. Dalam usaha untuk meningkatkan peranan koperasi dalam penyediaan pembiayaan kepada perusahaan mikro, sektor koperasi perlu diperkukuhkan di mana kapasiti dan keupayaan koperasi dipertingkatkan. Justeru itu, sejak awal tahun 2003 lagi Bank Negara Malaysia telah mencadangkan untuk menubuhkan SKM bagi memperkukuhkan pengawalseliaan ke atas koperasi. LINK BERKAITAN:
|