datuk nordin salleh     

 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

 

Tahun 2018 telah melabuhkan tirainya, kini tahun 2019 muncul dengan semangat dan azam yang baharu buat semua warga Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), koperator-koperator dan para pengunjung laman sesawang SKM.

Keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu dan serba mencabar mendorong gerakan koperasi untuk lebih berdaya maju dan berdaya saing bagi memastikan ianya menjadi satu entiti ekonomi yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Sebagai Pengerusi Eksekutif SKM yang baharu, saya amat bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh Kerajaan untuk memikul amanah dan tanggungjawab ini dan seterusnya saya akan berusaha untuk membawa gerakan koperasi ke tahap yang lebih cemerlang sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk menjadikan koperasi sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi negara dan sekaligus menjadi penyumbang yang signifikan kepada ekonomi negara.

Saya ingin menyarankan bahawa sudah sampai masanya gerakan koperasi di Malaysia mencontohi amalan-amalan terbaik yang dilaksanakan oleh beberapa gerakan koperasi negara-negara maju di dunia yang mengamalkan sistem tadbir urus yang baik, menjalankan aktiviti perniagaan bernilai tinggi dan terbukti mampu menyumbang kepada pendapatan koperasi dan anggota-anggota koperasi. 

Saya percaya dengan penyertaan anggota dalam aktiviti ekonomi koperasi (selaras dengan prinsip koperasi yang ketiga) impak ekonomi secara langsung dapat dirasai oleh lebih 6.5 juta orang anggota koperasi di negara ini dan saya yakin aktiviti yang dijalankan merupakan program outreach yang dapat memberi impak besar kepada masyarakat setempat.

Sesungguhnya saya menyeru kepada seluruh anggota gerakan koperasi di Malaysia agar bersama-sama memainkan peranan masing-masing dalam memastikan gerakan koperasi akan terus maju ke hadapan bagi memenuhi dan mencapai hasrat serta aspirasi Kerajaan.

Akhir kata, marilah kita sama-sama mendoakan semoga SKM dan gerakan koperasi akan terus cemerlang dan meraih kejayaan pada tahun 2019.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK NORDIN BIN SALLEH

PENGERUSI EKSEKUTIF

SURUHANJAYA KOPERASI MALAYSIA