
HALAMAN SEDANG DIKEMASKINI
HALAMAN SEDANG DIKEMASKINI
PUSPANITA atau nama singkatannya Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia telah dilancarkan dengan rasminya pada 1 Mac 1983 oleh Penaung PUSPANITA yang pertama, Tun Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohd Ali.
Di perkingkat awal penubuhannya, PUSPANITA melalui pelbagai proses bagi melengkapkannya sebagai sebuah persatuan yang berdaftar dan diterima oleh semua pihak terutamanya di peringkat pengurusan atasan dan ahli-ahli. Ahli-ahli Jawatankuasa protem ketika itu telah berusaha keras membentuk perlembagaan yang mengandungi butir-butir mengenai pertubuhan tersebut seperti visi, misi, tujuan penubuhan, keanggotaan serta tanggungjawab Majlis Tertinggi (MT) dan Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKT).
Bagi mengukuhkan kedudukan pertubuhan, Perlembagaan PUSPANITA telah menetapkan bahawa isteri Perdana Menteri akan menjadi Penaung, Ketua Setiausaha Negara akan menjadi Penasihat dan isteri Ketua Setiausaha Negara adalah Yang Di Pertua kepada persatuan ini.
Di samping pembentukan perlembagaan, PUSPANITA telah berjaya menambahkan keahlian dari tahun ke tahun dan kini mempunyai lebih daripada 80,000 ahli. Satu lagi kejayaan yang amat dibanggakan adalah Rumah PUSPANITA di Jalan Hose, Kuala Lumpur dan PUSPANITAPURI sebagai pusat aktiviti dan mercu tanda kegemilangan. PUSPANITA juga mempunyai pakaian seragamnya yang tersendiri sebagai lambang penyatuan ahli-ahli.
Pelbagai program dan aktiviti telah disusun dan dilaksanakan oleh PUSPANITA untuk mencapai visi dan misinya. Antaranya adalah Rancangan Lima Tahun PUSPANITA, Tabung PUSPADARA PUSPANITA dan Tabung Latihan PUSPANITA. Kejayaan PUSPANITA adalah hasil kebijaksanaan kepimpinan penaung dan penasihatnya. Ini diikuti dengan kerjasama dan sokongan padu Majlis Tertinggi (MT), Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKT) serta warga PUSPANITA.
Objektif Utama Penubuhan PUSPANITA
- Merapatkan perhubungan muhibah dan menyatupadukan isteri-isteri dan anggota-anggota Perkhidmatan Awam di semua peringkat perkhidmatan;
- Menggalakkan perkembangan pengetahuan, kemahiran serta kemajuan diri ahli-ahli persatuan menerusi program-program kemajuan diri, ceramah-ceramah, bengkel-bengkel, seminar-seminar dan kursus;
- Menggalakkan dan melibatkan ahli-ahli dalam aktiviti-aktiviti bagi faedah ahli-ahli dan keluarga mereka serta masyarakat;
- Mengadakan program-program untuk memungut derma dan sumbangan bagi aktiviti-aktiviti amal kebajikan;
- Mengadakan program-program untuk mengeratkan perhubungan dengan lain-lain pertubuhan wanita yang berdaftar, demi memupuk semangat persefahaman dan menambahkan pengetahuan melalui rancangan-rancangan pembangunan negara khususnya yang berkaitan dengan kaum wanita di negara ini;
- Menyertai aktiviti perniagaan dengan syarat semua wang dan keuntungan yang didapati oleh persatuan ini hasil dari penyertaannya dalam mana-mana perniagaan akan digunakan semata-mata untuk melanjutkan, memajukan dan menjalankan tujuan-tujuan persatuan ini dan tidak sebahagianpun daripada wang atau keuntungan itu akan digunakan untuk membayar faedah, keuntungan atau bonus kepada sebarang ahli persatuan. Sungguhpun begitu, peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran yang dibuat dengan tujuan baik untuk membayar gaji atau perbelanjaan atau kedua-duanya kepada sebarang ahli atau pekerja persatuan ini dengan syarat mereka telah memberikan perkhidmatan kepada persatuan ini.
| VISI |
|---|
| Ke arah PUSPANITA cemerlang |
| MISI |
|---|
| Untuk menjadi wanita berdaya saing, berkualiti, berilmu, berkemahiran, berketerampilan dan bertaqwa supaya dapat menyumbang kepada pembangunan diri, keluarga dan masyarakat. |
| MOTO |
|---|
| Wanita sepakat negara meningkat |

HALAMAN SEDANG DIKEMASKINI























