Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Suruhanjaya) ingin menegaskan bahawa kenyataan yang tersebar di media sosial Facebook mengenai KOPERASI PEMODALAN JAJARAN MEGA BERHAD sebagai sebuah Koperasi berdaftar adalah TIDAK BENAR. Suruhanjaya telah menerima aduan daripada orang awam berkaitan skim yang menjanjikan pulangan tinggi oleh entiti tersebut dan menyalahgunakan nama koperasi melalui media sosial. Skim yang ditawarkan menetapkan seseorang individu yang membuat bayaran tertentu akan menerima bonus dua kali ganda daripada pelaburan asal bagi pelaburan untuk tempoh empat bulan. Pulangan akan meningkat bagi tempoh pelaburan sembilan (9) bulan dan 12 bulan.
Suruhanjaya telah menyiasat skim yang ditawarkan tersebut dan ingin memaklumkan bahawa KOPERASI PEMODALAN JAJARAN MEGA BERHAD tidak boleh menjalankan apa-apa perniagaan sebagai sebuah koperasi kerana masih belum berdaftar dengan Suruhanjaya. Apa-apa promosi oleh entiti tersebut tidak ada kaitan dengan koperasi.
Sehubungan dengan itu, melalui ruangan ini Suruhanjaya mengingatkan kepada orang ramai supaya berwaspada dan berhati-hati dan tidak terpedaya dengan sebarang tawaran pulangan yang tidak munasabah yang menggunakan nama koperasi.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau kemusykilan berkaitan perkara di atas, boleh menghubungi Suruhanjaya di alamat dan talian seperti berikut:
SURUHANJAYA KOPERASI MALAYSIA
d/a Menara Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Changkat Semantan,
Off Jalan Semantan, Bukit Damansara, 50490 Kuala Lumpur
Telefon:
03-2083 4056 (Puan Norzila binti Nayan)
03-2083 4418 (Puan Nurul Akmar binti Ahmad Radzi)
Faksimili:
03-2083 4105