pdfIcon
   
1. Mengenai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)
   

01.01 - Apakah itu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)?
Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) adalah satu entiti yang telah diperbadankan pada 1 Januari 2008. SKM dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia (JPK) dan
telah wujud semenjak tahun 1922.
01.02 - Apakah Objektif SKM?
  1. Merangsang pembangunan koperasi dan sektor koperasi yang kukuh dan teratur menurut nilai-nilai serta prinsip-prinsip koperasi bagi menyumbang ke arah pencapaian objektif sosio-ekonomi Negara;
  2. Menggalakkan sektor koperasi yang kukuh kewangannya, progresif dan mampan; dan
  3. Mengekalkan keyakinan dalam gerakan koperasi.
01.03 - Apakah Fungsi SKM?
  1. Menggalakkan serta mengekalkan kestabilan sektor koperasi;
  2. Menggalakkan dan mempromosikan pembangunan koperasi dan sektor koperasi yang kukuh dan teratur;
  3. Bertindak sebagai pemegang amanah dan untuk menguruskan apa-apa skim pembiayaan Islam atau kemudahan kredit yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia untuk koperasi;
  4. Menasihati Menteri mengenai semua perkara yang berhubungan dengan koperasi dan sektor koperasi;
  5. Menjalankan apa-apa fungsi di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain seperti yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan yang disiarkan dalam Warta;
  6. Bertanggungjawab dalam memantau, menyelia dan mengawal selia koperasi dan sektor koperasi;
  7. Memelihara nilai dan prinsip koperasi;
  8. Mendaftar dan membatalkan pendaftaran koperasi;
  9. Mengadakan persekitaran yang sesuai bagi koperasi menjalankan aktivitinya.
01.04 - Apakah Misi dan Visi SKM?
Visi SKM:
"Peneraju Kecemerlangan Koperasi Bagi Menjadikannya Penyumbang Berkesan Kepada Pembangunan Negara"

Misi SKM:
  1. Koperasi yang kompetitif, berdaya tahan, berdaya saing, progresif dan berintegriti;
  2. Peningkatan penglibatan koperasi dalam pelbagai sektor ekonomi;
  3. Modal insan yang kompeten dan berbudaya keusahawanan
01.05 - Apakah perkhidmatan-perkhidmatan utama yang ditawarkan SKM?
  1. Pendaftaran koperasi
  2. Pembiayaan Tabung Modal Pusingan
  3. Geran Bantuan Pembangunan Koperasi
  4. Khidmat akaun dan Pengauditan
  5. Khidmat nasihat perundangan
01.06 - Bagaimana caranya untuk menubuhkan dan mendaftarkan koperasi?
Permohonan pendaftaran koperasi secara atas talian.

1. Panduan pengisian borang kebenaran pendaftaran koperasi secara atas talian adalah seperti berikut:
    i) Daftar Masuk ke Sistem Permohonan Atas Talian (Online) SKM (https://apponline.skm.gov.my/)
    ii) Isi bahagian maklumat asas koperasi, pemohon koperasi dan aktiviti koperasi.
    iii) Sahkan maklumat permohonan dan hantar permohonan.

2. Surat Kebenaran Pendaftaran akan diberikan dalam masa tiga (3) hari bekerja. Pemohon boleh menyemak dan mencetak surat tersebut secara atas talian.

Menghubungi SKM.

3. Rujuk Surat Kebenaran Pendaftaran bagi mendapatkan maklumat pegawai dan SKM Cawangan Negeri yang telah ditetapkan untuk dihubungi.

4. Suruhanjaya akan mengemukakan Kit Pendaftaran Koperasi kepada pemohon sebagai panduan bagi permohonan pendaftaran koperasi yang mengandungi:

(i) GP12: Garis Panduan Berkenaan Dengan Pendaftaran Koperasi

Lampiran A : Contoh Minit Mesyuarat Agung Permulaan
                  ➢ Senarai Kehadiran Orang Yang Layak Menjadi Anggota
                  ➢ Contoh Belanjawan Tahunan

Lampiran B : Butiran Undang-undang Kecil

Lampiran C : Permohonan Bagi Pendaftaran Koperasi di bawah Jadual Pertama

Lampiran D : Helaian Terakhir Undang-undang Kecil

Lampiran E : Borang Fi Pendaftaran

(ii) Format Undang-undang Kecil Seragam.

Mesyuarat Agung Permulaan.

5. Pemohon perlu mengadakan Mesyuarat Agung Permulaan dalam tempoh 30 hari bekerja dari tarikh Surat Kebenaran Pendaftaran diterima. Bilangan anggota koperasi hendaklah sekurang-kurangnya 20 orang.

6. Borang permohonan pendaftaran koperasi dan dokumen-dokumen yang berkaitan hendaklah dikemukakan kepada Suruhanjaya dalam tempoh tidak lewat daripada dua minggu (14 hari) dari tarikh mesyuarat agung permulaan seperti berikut;

i) memuat naik secara atas talian melalui sistem e-Daftar; dan/atau

ii)menghantar salinan cetak kepada pejabat Suruhanjaya Wilayah atau Negeri.

Terima Sijil Pendaftaran Koperasi.

7. Pemohon akan menerima sijil pendaftaran koperasi dan naskhah Undang-Undang Kecil Koperasi dalam tempoh 28 hari bekerja daripada tarikh dokumen permohonan pendaftaran dikemukakan kepada Suruhanjaya.

* Rujuk GP12: Garis Panduan Berkenaan Dengan Pendaftaran Koperasi untuk penjelasan lebih lanjut. 
01.07 - Siapa yang layak memohon pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP-JPK)?
Semua koperasi yang berdaftar di bawah Akta Koperasi 1993 (Akta 502) layak memohon.
01.08 - Apakah jenis-jenis pembiayaan yang ditawarkan TMP-JPK?
i.Modal Pusingan

a. Perniagaan;
b. Kerja kontrak perusahaan/ perindustrian;
c. Kredit;
d. Pajak gadai islam;
e. Pelancongan, kesihatan dan penjagaan diri.

ii.Perumahan

a. Pembiayaan sementara (Bridging loan);
b. Pembelian tanah dan pembayaran premium.

iii.Tanah/ Bangunan

a. Pembiayaan sementara (Bridging loan);
b. Pembelian tanah/ bangunan/ kilang;
c. Pembayaran premium;
d. Pembinaan bangunan;
e. Ubahsuai/ baikpulih bangunan

iv.Perladangan/ Ternakan/ Pertanian

a. Pembelian tanah dan membayar premium tanah;
b. Pembelian ladang;
c. Pembangunan ladang dan ternakan

v.Kenderaan/Jentera

a. Pembeliaan kenderaan dan jentera
01.09 - Apakah kriteria pembiayaan TMP-JPK?
  1. Had maksimum pembiayaan bagi satu koperasi adalah RM10 juta, koperasi sekolah layak memohon pembiayaan sehingga maksimum RM50,000.00 sahaja;
  2. Projek yang dibiayai dilaksanakan oleh koperasi;
  3. Pembiayaan sehingga 90% daripada kos projek atau nilai semasa cagaran, mana yang lebih rendah;
  4. Jumlah pembiayaan tidak lebih daripada 90% nilai cagaran aset dan 100% untuk simpanan tetap;
  5. Pendapatan daripada projek yang dicadangkan dapat membayar balik pembiayaan;
  6. Tempoh maksimum bayaran balik bagi pembiayaan <rm50,000 -="" 5="" tahun,="">RM50,000 hingga RM10 juta - 20 tahun
01.10 - Apakah bentuk cagaran pembiayaan TMP-JPK yang diperlukan?
  1. Harta tetap seperti tanah dan bangunan;
  2. Inden kerja;
  3. Simpanan tetap bank;
  4. Kenderaan
01.11 - Apakah ciri-ciri permohonan pembiayaan TMP-JPK yang tidak dipertimbangkan?
  1. Pembiayaan untuk projek anak syarikat;
  2. Pelaburan saham;
  3. Projek yang dilaksanakan bertentangan dengan Hukum Syarak
01.12 - Apakah kelebihan memohon pembiayaan TMP-JPK?
  1. Kadar keuntungan/faedah yang rendah iaitu 1% - 6% dan dikira berasaskan baki bulanan tertakluk kepada amaun pembiayaan;
  2. Tempoh penangguhan (grace period) boleh diberi sehingga 6 bulan tanpa keuntungan/ faedah;
  3. Pembiayaan kedua dan seterusnya boleh dipertimbangkan dengan syarat rekod bayaran balik memuaskan (tiada tunggakan).
01.13 - Apakah bayaran proses yang dikenakan untuk permohonan TMP-JPK?
  1. Bayaran memproses dikenakan pada kadar 0.07% bagi setiap RM1.00 diluluskan;
  2. Minimum - RM7.00 ; Maximum - RM700.00
  3. Perjanjian pembiayaan - RM1.00
01.14 - Apakah prosedur memohon pembiayaan TMP-SKM?
  1. Gunakan borang permohonan yang boleh didapati di SKM Negeri, Wilayah dan Laman Web SKM;
  2. Koperasi perlu mengemukakan dokumen berikut:
  1. Kertas kerja projek;
  2. Unjuran Aliran Tunai dan Anggaran Untung Rugi Projek;
  3. Penyata Kewangan Yang Diaudit Terkini;
  4. Cabutan Minit Mesyuarat Agung dan Mesyuarat Lembaga;
  5. Penyata Terimaan dan Bayaran dan Penyata Bank bagi tiga bulan terkini;
  6. Dokumen-dokumen lain yang boleh menyokong permohonan;
  7. Permohonan hendaklah dikemukakan kepada pejabat SKM yang menyelia koperasi berkenaan
01.15 - Apakah jenis-jenis geran bantuan pembangunan yang ditawarkan?
i.Bantuan asas (Maksimum RM30,000)

a. Sub Bantuan Fizikal

Bertujuan untuk membantu menyediakan infrastruktur asas bagi premis perniagaan koperasi atau tempat-tempat dimana aktiviti koperasi akan/sedang dijalankan seperti pengubahsuaian premis/kedai, penyediaan kelengkapan dan peralatan, mesin pengeluaran dan sebagainya.

b. Sub bantuan koperasi baru

Bertujuan untuk membantu menyediakan infrastruktur asas sebagai galakan atau insentif kepada koperasi-koperasi yang baru didaftarkan untuk memulakan aktiviti/perniagaan yang berdaya maju.


ii.Bantuan pengukuhan/ pemantapan (Minimum RM30,000)

Bertujuan untuk mengukuhkan dan memantapkan aktiviti/perniagaan koperasi supaya perkhidmatan yang diberi kepada anggota, agar imej koperasi dikalangan masyarakat dan sumbangan koperasi dalam pembangunan Negara dapat ditingkatkan, selaras dengan Dasar Koperasi Negara (DKN).

iii.Bantuan pemodenan kedai koperasi (Maksimum RM50,000)

Bantuan ini yang disediakan bertujuan untuk memodenkan serta membentuk keseragaman jenama di kedai runcit koperasi bagi meningkatkan keupayaan supaya lebih berdaya saing.
01.16 - Bagaimana caranya untuk membuat permohonan bantuan geran pembangunan?
Permohonan bantuan hendaklah dihantar ke Ibu Pejabat SKM melalui SKM Negeri. Permohonan hendaklah dibuat menggunakan Borang Permohonan Bantuan Pembangunan. Bagi permohonan yang melebihi RM30,000.00, kertas kerja projek hendaklah disediakan.

i.Maklumat yang diperlukan
 
a. Borang permohonan;
b. Surat sokongan SKM Wilayah dan Negeri;
c. Masalah dihadapi koperasi;
d. Senarai keperluan dan kos terperinci;
e. Cabutan minit Mesyuarat Lembaga;
f. Lain-lain maklumat dan gambar-gambar sokongan;
g. Penyata terimaan dan bayaran untuk 3 bulan terkini;
h. Laporan Audit 2 tahun terkini.


ii.Bayaran Permohonan

Tiada bayaran permohonan dikenakan.

iii.Urusetia Bantuan Pembangunan

Urusetia yang menguruskan Bantuan Pembangunan ialah Bahagian Dasar dan Perancangan Pembangunan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

iv.Jawatankuasa Bantuan Pembangunan SKM

Permohonan bantuan koperasi akan dipertimbangkan dan diputuskan oleh Jawatankuasa Bantuan Pembangunan SKM.
01.17 - Apakah jenis-jenis perkhidmatan atas talian yang ditawarkan SKM?
Ya, Pemohon boleh melayari laman web SKM di http://www.skm.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat lanjut.


2. Mengenai Koperasi
   

02.01 - Apakah itu koperasi?
Koperasi ertinya suatu pertubuhan orang berautonomi yang bersatu secara sukarela untuk memenuhi keperluan dan aspirasi ekonomi, sosial dan budaya mereka yang sama melalui suatu perusahaan milik bersama dan dikawal secara demokrasi yang berdaftar di bawah Akta Koperasi 1993.
02.02 - Apakah ciri-ciri koperasi?
  1. Koperasi melaksanakan aktiviti-aktiviti ekonomi bagi memenuhi keperluan anggota-anggotanya;
  2. Koperasi bukannya berunsurkan politik. Anggotanya tidak boleh menggunakan koperasi sebagai tempat berpolitik;
  3. Koperasi bukannya Kesatuan Pekerja (TradeUnion) . Konsep koperasi ialah tolong menolong antara satu sama lain, bukannya dengan cara berjuang menuntut hak-hak dari majikan;
  4. Koperasi bukannya badan kebajikan;
  5. Anggota-anggota koperasi mengurus dan mengawal perjalanan koperasi berdasarkan Akta, Peraturan dan Undang-Undang Kecil Koperasi;
  6. Syer dan yuran disumbangkan oleh anggota sebagai modal menjalankan perniagaan koperasi;
  7. Setiap anggota mempunyai hak yang sama dalam membuat keputusan mengenai masa depan koperasi;
  8. Liabiliti anggota adalah terhad kepada sumbangan modal dan atau yurannya sahaja;
  9. Koperasi mengutamakan keperluan dan perkhidmatan kepada anggota terlebih dahulu daripada mencari keuntungan semata-mata.
02.03 - Apakah prinsip-prinsip koperasi?
  1. Keanggotaan sukarela dan terbuka;
  2. Kawalan secara demokratik oleh anggota;
  3. Penglibatan anggota dalam kegiatan ekonomi;
  4. Kebebasan autonomi;
  5. Pendidikan, latihan dan maklumat;
  6. Bekerjasama di antara koperasi-koperasi;
  7. Prihatin terhadap komuniti.
02.04 - Apakah faedah koperasi kepada anda?
  1. Anggota memiliki koperasi melalui modal syer dan yuran yang disumbangkan di samping menjadi pengguna perkhidmatan dan barangan yang ditawarkan oleh koperasi. Dengan ini anggota berhad menentukan jenis barangan dan perkhidmatan yang diperlukan.
  2. Koperasi menawarkan barangan berkualiti pada harga yang berpatutan kepada anggota- anggotanya. Di samping itu, koperasi juga menyediakan kemudahan tabungan yang terjamin dan kemudahan pinjaman pada kadar faedah yang berpatutan.
  3. Anggota-anggota menikmati pulangan atas langganan, modal yang disumbangkan dan penyertaan aktif di dalam pengurusan dan aktiviti koperasi. Sebahagian daripada keuntungan koperasi diperuntukkan kepada tabung kebajikan anggota bagi membiayai aktiviti-aktiviti kebajikan seperti tabung pendidikan anak-anak anggota, khairat kematian dan sumbangan kepada aktiviti- aktiviti kemasyarakatan.
02.05 - Apakah aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan oleh koperasi?
Koperasi merupakan satu entiti yang berdaftar yang sama seperti entiti perniagaan yang lain. Ini bermakna koperasi boleh menjalankan aktiviti perniagaan seperti yang dinyatakan di bawah:

  1. Perbankan dan Kredit;
  2. Pertanian;
  3. Perumahan;
  4. Perindustrian;
  5. Pengguna;
  6. Pembinaan;
  7. Pengangkutan;
  8. Perkhidmatan
Walau bagaimanapun, di bawah Pelan Tindakan Dasar Koperasi Negara (DKN), koperasi digalakkan menceburi di dalam 5 bidang keberhasilan aktiviti ekonomi tinggi iaitu:

  1. Perkhidmatan Kewangan
  2. Pemborongan dan Peruncitan
  3. Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan
  4. Pertanian dan Industri Asas Tani
  5. Peladangan