Aktiviti | : |
Perasmian Pelancaran Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK’23) yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang bertempat di Dewan Bandaraya, Kompleks Ibu Pejabat, Majlis Bandaraya Kuantan, Pahang. Bertemakan ‘Malaysia MADANI Teras Kecemerlangan Koperasi’, penganjuran BKK’23 bertepatan dengan aspirasi teras satu MADANI iaitu memacu pertumbuhan ekonomi negara menerusi gerakan koperasi sekali gus melonjakkan pendapatan negara di samping memberi keuntungan dan manfaat kepada ahli koperasi serta rakyat secara keseluruhannya. Di dalam majlis ini, Lima koperasi dari zon timur telah menerima Pinjaman Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) bernilai RM13,930,000.00 manakala lima koperasi zon timur telah menerima geran bantuan pembangunan bernilai RM665,000. Bantuan tersebut meliputi bantuan Koperasi Prihatin Rakyat, SCOPE, EFast dan Transfer yang menjalankan aktiviti kredit dan pembelian bangunan. Dalam majlis yang sama, Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) 2030 juga turut dilancarkan. Pelan yang dihasilkan menerusi kerjasama SKM, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) ini menggariskan pelbagai inisiatif yang bakal dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan koperasi dalam menjalankan perniagaan berasaskan teknologi. DigiKOP 2030 dijangka membawa perubahan dalam mentransformasikan gerakan koperasi ke arah pendigitalan. Hadir sama, YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha KUSKOP, Tuan Rusli bin Jaafar, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Pengurusan Tertinggi KUSKOP, Pengurusan Tertinggi SKM, serta Ketua-ketua agensi di bawah KUSKOP.
|