MENGENAI DASAR KOPERASI MALAYSIA (DaKoM) 2030

Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030 adalah merupakan kesinambungan dari Dasar Koperasi Negara 2011 – 2020. Kerangka Dasar Koperasi Malaysia 2030 merupakan hala tuju strategik bagi pembangunan koperasi dalam meningkatkan prestasi ekonomi dan kesejahteraan sosial anggotanya dengan visi menjadikan sektor ini sebagai pemangkin utama pertumbuhan sosioekonomi Malaysia. DaKoM 2030 dibentuk bagi mencapai tiga objektif iaitu:

  1. Menjadikan sektor koperasi sebagai penyumbang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia;
  2. Membentuk koperasi yang berkemampuan dan kukuh serta diterima rakyat Malaysia; dan
  3. Meletakkan koperasi sebagai model perniagaan pilihan dalam memacu pembangunan sosioekonomi Malaysia.


Empat (4) prinsip asas yang digariskan di bawah DaKoM 2030 adalah Menyatukan, Mendidik, Membangun dan Berkembang. Bagi memeta hala tuju gerakan koperasi sehingga tahun 2030, sebanyak empat (4) Teras Dasar dengan 20 strategi telah dirangka sebagai panduan dalam memacu koperasi ke tahap yang lebih cemerlang pada tahun 2030.

Teras Dasar 1: Transformasi Sokongan Koperasi Untuk Ekosistem Yang Lebih Kondusif Dan Holistik

Teras Dasar 2: Meningkatkan Kefahaman Dan Penghayatan Sektor Koperasi

Teras Dasar 3 : Meningkatkan Kapasiti dan Keupayaan Koperasi

Teras Dasar 4 : Memajukan Sektor Koperasi Sebagai Wahana Sosio-Ekonomi

DaKoM 2030 mensasarkan perolehan koperasi sebanyak RM73 bilion pada tahun 2030, Koperasi aktif 65% dan Skor Indeks Kesejahteraan Anggota Koperasi (IndeKA) meningkat kepada 80.

Bagi mencapai sasaran tersebut, 20 strategi telah dirangka di mana KPI bagi program dan aktiviti oleh semua pemegang taruh telah disusun dan dipantau di bawah Jawatankuasa Pemandu Pemantauan Pelaksanaan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang diurusetiakan oleh Pejabat Pengurusan Transformasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

DASAR KOPERASI MALAYSIA (DaKoM) 2030