Aktiviti | : |
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick yang mengetuai delegasi Malaysia di Jordan mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertanian Jordan, Tuan Yang Terutama Khaled Mousa Shehadeh Alhuneafat di Crowne Plaza, Laut Mati, Jordan pada hari ini (29 April 2024). Kunjungan hormat tersebut diadakan bersempena berlangsungnya program Persidangan Menteri-Menteri Koperasi peringkat Asia dan Pasifik yang ke-11 yang diadakan pada 28 hingga 30 April 2024 di Laut Mati, Jordan. Sesi kunjungan hormat tersebut turut dihadiri oleh Duta Besar Malaysia ke Jordan, Tuan Yang Terutama Mohamad Nasri Bin Abdul Rahman. Kunjungan hormat ini akan memberi peluang kepada Malaysia dan Jordan untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang keberhasilan khususnya dalam pertanian dan pelancongan melalui gerakan koperasi oleh kedua-dua buah negara di samping berkongsi ilu dan kepakaran dalam perniagaan dan pendidikan. Menteri Pertanian Jordan juga menyatakan minat untuk mendapatkan perkongsian lanjut mengenai pencapaian dan kejayaan 15,809 koperasi di Malaysia dengan 7.2 juta keanggotaan yang menyumbang kepada perolehan RM64 billion pada tahun 2023. Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Bin Jalal (B); Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP yang juga Anggota Lembaga Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Azizul Alias; Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Rusli Jaafar; Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Mohd Ali Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh. Turut hadir mengiringi Menteri Pertanian Jordan ialah Ketua Pengarah Jordan Cooperative Corporation (JCC), Abdelfattah M.Q. Al Shalabi dan Penolong Ketua Pengarah JCC, Eng. Ghalib Michail Haddadin.
|