Aktiviti | : |
13 MEI 2024 - YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) Bilangan 1/2024 yang diadakan di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. Mesyuarat telah dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi KUSKOP, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Ketua-Ketua Agensi KUSKOP dan ahli Majlis yang terdiri daripada 35 orang yang diwakili oleh 14 Exco Kerajaan Negeri yang memegang portfolio Koperasi, 9 wakil gerakan koperasi, 3 wakil akademik dan 2 wakil industri. Mesyuarat hari ini memberi fokus untuk menentukan hala tuju pembangunan gerakan koperasi negara serta bertujuan mempertingkatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri. Selain itu, mesyuarat juga membincangkan mengenai perkara-perkara yang boleh menyumbang kepada pembangunan gerakan koperasi agar terus kekal relevan sebagai penyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi negara. YB Datuk Ewon Benedick mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh beberapa Kerajaan Negeri dalam memberikan insentif kepada gerakan koperasi. Antaranya, Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan insentif sebanyak RM300 ribu dengan sasaran sebanyak 20 koperasi akan menerima manfaat. Seterusnya Kerajaan Negeri Perak telah memperuntukkan insentif sebanyak RM620 ribu dengan sasaran lebih 100 koperasi akan menerima manfaat. Selain itu, Kerajaan Negeri Melaka telah memperuntukkan sebanyak RM100 ribu dengan sasaran 15 koperasi akan menerima manfaat. Harapan beliau agar Kerajaan Negeri yang lain juga dapat sama-sama membantu pembangunan gerakan koperasi di negeri masing-masing untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat Malaysia. YB Datuk Ewon Benedick juga telah memberi kenyataan mengenai penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) oleh IKMa yang telah mendapat kelulusan penubuhan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2022 dalam memberi tumpuan kepada pengurusan koperasi, perdagangan dan perniagaan selaras dengan usaha IKMa untuk menyemarakkan industri koperasi di negara ini. UKKM juga merupakan universiti pertama di Malaysia yang memberi tumpuan kepada bidang koperasi dan beberapa program ditawarkan yang meliputi peringkat daripada Diploma sehingga Doktor Falsafah. Penekanan pengadaptasian sesebuah koperasi daripada aspek digitalisasi juga adalah penting dalam mendepani era digital. Ianya dapat menyebarluaskan penguasaan ekonomi digital dengan penerimagunaan teknologi digital dengan lebih meluas. Melalui penguasaan selok-belok penggunaan platform digital diharap akan membantu dalam penawaran produk dan perkhidmatan koperasi agar ianya dapat meluaskan empayar perniagaan sesebuah koperasi.
|