Aktiviti | : |
SEPANG - 16 Mei 2024: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah mengadakan Majlis Peluncuran Jom Jelajah Koperasi (JEJAK) 2024-2025 di Homestay Banghuris Sepang Selangor hari ini. Program ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Program JEJAK merupakan inisiatif SKM untuk merangsang aktiviti koperasi yang terlibat dalam industri hospitaliti, penjagaan kesihatan dan kraf. Program ini akan membantu meningkatkan keupayaan koperasi melalui aktiviti promosi dan pemasaran produk/perkhidmatan bagi merancakkan semula perkembangan industri tersebut yang masih terkesan akibat daripada penularan Pandemik Covid-19. Justeru, koperasi-koperasi yang terlibat dan layak menerima insentif ini boleh beroperasi pada tahap optimum dan sebagai persediaan koperasi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Sebanyak RM2 juta telah diperuntukan oleh SKM pada tahun ini dengan mensasarkan penglibatan 160 Koperasi yang terlibat dalam industri hospitaliti, penjagaan kesihatan dan kraf. Jualan Madani Koperasi (JMK) turut diadakan semasa peluncuran program tersebut dan KUSKOP melalui SKM telah memperuntukkan insentif harga sebanyak RM34,000.00. SKM telah melantik Koperasi Jabatan Penjara Malaysia Berhad sebagai operator jualan yang menawarkan pelbagai jenis barangan keperluan harian asas seperti gula, tepung, minyak, susu, telur dan pelbagai lagi. JMK memberi peluang kepada anggota koperasi serta penduduk sekitar Sungai Pelek Sepang mendapatkan barangan dengan kadar penjimatan sehingga 20% daripada harga pasaran. YB Datuk Ewon Benedick juga mengadakan sesi walkabout dan ramah mesra bersama pengunjung yang hadir dan seterusnya mengadakan Jualan Happy Hour dengan menambah sebanyak 10% lagi diskaun menjadikan jumlah penjimatan yang dinikmati oleh pengguna berjumlah 30% selama 1 jam atau sehingga barangan yang dikhususkan untuk happy hour habis dijual. Melalui program jualan ini, dianggarkan seramai 1,000 orang pengunjung memperoleh manfaat daripada insentif yang telah disediakan oleh Kerajaan. Sehingga 16 Mei 2024, sebanyak 28 program Jualan MADANI Koperasi telah diadakan di 18 kawasan parlimen dan telah memberi manfaat kepada 135,442 pengguna dengan penjimatan sebanyak RM778,212. Program ini juga telah merekodkan jumlah jualan sebanyak RM3,117,405 melalui 95 koperasi yang dilantik sebagai operator jualan. Hadir sama YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Datuk Haji Zamri bin Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan bin Jalal (B), Pengerusi SKM dan Encik Rusli bin Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif SKM. Setelah itu, program diteruskan dengan lawatan Pengerusi SKM ke Ladang Getah, Ladang Kopi dan Koperasi Pengusaha dan Pengilang Ubi Selangor Berhad (KOUPANG) yang mengusahakan kilang kerepek.
|