Mengenai Bantuan Pembangunan Koperasi

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan skim bantuan pembangunan dengan objektifnya untuk memberi kemudahan bantuan kewangan kepada koperasi-koperasi berdaftar di bawah Akta Koperasi 1993 supaya koperasi-koperasi tersebut dapat melaksanakan dan memantapkan aktiviti/ perniagaan yang dijalankan.

Garis Panduan Bantuan
Bantuan Pembangunan atau Geran Pembangunan diberi adalah tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan mengikut syarat-syarat serta jumlah bantuan yang boleh diluluskan mengikut kategori atau jenis bantuan.
Syarat Kelayakan Memohon
  1.    Koperasi telah didaftarkan;
  2.   Permohonan koperasi mendapat sokongan SKM Negeri;
  3.  Perjalanan koperasi mematuhi Akta Koperasi;
  4.  Pengurusan koperasi memuaskan;
  5.   Projek yang dicadangkan berdaya maju dan memberi faedah kepada anggota-anggota.
Jenis-Jenis Bantuan
Bantuan Asas
(Maksimum RM30,000)

i. Sub Bantuan Fizikal
Bertujuan untuk membantu menyediakan infrastruktur asas bagi premis perniagaan koperasi atau tempat-tempat di mana aktiviti koperasi akan/ sedang dijalankan seperti pengubahsuaian premis/ kedai, penyediaan kelengkapan dan peralatan, mesin pengeluaran dan sebagainya.

ii. Sub-Bantuan Koperasi Baru
Bertujuan untuk membantu menyediakan infrastruktur asas sebagai galakan atau insentif kepada koperasi-koperasi baru didaftarkan, untuk memulakan aktiviti/ perniagaan mereka.

Bantuan Pengukuhan/ Pemantapan
(Maksimum RM30,000)

Bertujuan untuk mengukuhkan dan memantapkan aktiviti/ perniagaan koperasi supaya perkhidmatan yang diberi kepada anggota, imej koperasi dalam kalangan masyarakat dan sumbangan koperasi dalam pembangunan negara dapat ditingkatkan, selaras dengan Dasar Koperasi Negara (DKN)

Bantuan Pemodenan Kedai Koperasi
(Maksimum RM50,000)

Bantuan ini disediakan bertujuan untuk memodenkan serta membentuk keseragaman jenama di kedai runcit koperasi bagi meningkatkan keupayaannya supaya lebih berdaya saing.
Cara Memohon
Permohonan bantuan hendaklah dihantar ke Ibu Pejabat SKM melalui SKM Negeri. Permohonan hendaklah dibuat menggunakan Borang Permohonan Bantuan Pembangunan. Bagi permohonan yang melebihi RM30,000.00, kertas kerja projek hendaklah disediakan.
Dokumentasi
Dokumen/ maklumat yang diperlukan adalah seperti berikut:
    •  Borang Permohonan Bantuan  pdfIcon;
    •  Surat sokongan SKM Wilayah dan Negeri;
    •  Masalah koperasi;
    •  Senarai keperluan dan kos terperinci;
    •  Cabutan minit Mesyuarat Lembaga;
    •  Lain-lain maklumat dan gambar-gambar sokongan;
    •  Penyata terimaan dan bayaran untuk 3 bulan terkini;
    •  Laporan Audit 2 tahun terkini
Bayaran
Tiada bayaran permohonan dikenakan.