KENYATAAN SKM
Suruhanjaya telah menerima aduan daripada orang awam berkaitan tindakan seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai kepada KOPERASI 1MALAYSIA BERHAD (KOP1M) dan mempromosikan melalui media sosial Facebook (FB) bahawa Koperasi menawarkan Skim Pinjaman Peribadi 1Malaysia dengan mensyaratkan pemohon membayar kos pinjaman minimum RM300 tertakluk kepada amaun pinjaman yang dipohon dan bayaran kos pinjaman ini perlu dimasukkan ke dalam akaun individu berkenaan untuk membolehkan pinjaman diluluskan segera kurang dari tempoh 24 jam.
Suruhanjaya telah menyiasat skim yang ditawarkan ini dan ingin memaklumkan bahawa KOP1M tidak dibenarkan menjalankan aktiviti pembiayaan peribadi dan tidak pernah menawarkan skim pembiayaan yang dimaksudkan di atas sama ada melalui Koperasi sendiri maupun melalui mana-mana individu atau agen untuk menjalankan aktiviti berkenaan.
Sehubungan itu, Suruhanjaya mengingatkan kepada orang ramai supaya berwaspada dan berhati-hati dan tidak terpedaya dengan sebarang tawaran pembiayaan atau lain-lain tawaran yang tidak munasabah yang menggunakan nama KOP1M atau nama mana-mana koperasi berdaftar tanpa terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripada Suruhanjaya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau kemusykilan berkaitan perkara di atas boleh menghubungi Suruhanjaya di alamat dan talian seperti berikut:
Suruhanjaya Koperasi Malaysia
Menara Suruhanjaya Koperasi Malaysia
Changkat Semantan, Off Jalan Semantan
Bukit Damansara
50490 Kuala Lumpur
Telefon : 03-2083 4056 (Hajah Rosmawati binti Hassan)
Faksimili : 03-20834105